Katy Perry adalah Wanita Tahunan Billboard

30 Sep Pelantun lagu "Wide Awake", Katy Perry bakal membawa pulang Anugerah Wanita Tahunan di acara Wanita Dalam Muzik Billboard (Billboard Women In Music) 2012 yang bakal berlangsung di Capitale, Kota New York pada 30 November akan datang.

Menurut pengarah editorial Billboard, Bill Werde, pemilihan Perry adalah yang terbaik kerana pencapaian menakjubkan yang dikecapinya semenjak mencipta nama dalam industri muzik lebih kurang lima tahun lalu.

"Katy Perry berjaya mencapai lebih daripada seseorang artis harapkan sepanjang karier mereka semenjak dia mula dikenali. Kami sangat teruja untuk meraikan kejayaan yang dikecapinya sepanjang 12 bulan dengan memberikannya satu penghormatan iaitu Anugerah Wanita Tahunan Billboard.

"Berjaya memecah beberapa rekod serta menduduki tempat teratas dalam carta muzik serta keunikan gayanya, Katy Perry adalah salah satu artis yang sangat mengujakan dan memberi inspirasi dalam industri hari ini."

Selepas mencipta nama dengan lagu "I Kissed A Girl" dan album hit "One Of The Boys", karier Perry nampaknya tidak bergerak perlahan, sebaliknya terus menduduki carta teratas terutama sekali selepas rilisnya album "Teenage Dream" pada tahun 2010. Sebanyak lima buah lagu antaranya "Firework" dan "California Gurls" yang dipetik daripada album tersebut berjaya menduduki tempat pertama dalam carta Hot 100, satu rekod baru untuk sebuah album daripada artis wanita.

Malah "Teenage Dream" telah terjual sebanyak 2.5 juta salinan di Amerika Syarikat sahaja dan menurut SoundScan Nielsen, album ini turut berada di carta Billboard 200 selama 100 minggu.

Siri konsert jelajah "California Dreams" yang dilakukannya berjaya dijual sepenuhnya di 124 arena di samping membantu empat organisasi amal iaitu Children's Health Fund, Generosity Water, The Humane Society serta Red Cross.

Malah konsert jelajahnya itu didokumentasi dalam filem konsert 3D, "Katy Perry: Part Of Me" yang diriliskan di Malaysia pada 30 Ogos lalu.